comscore
Tumpuan :
Nasional

KEB 2024 libat semua Bumiputera, terbuka kepada parti politik

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas pra pelancaran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya. – Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang akan berlangsung pada 29 Februari ini melibatkan semua Bumiputera termasuk dari Sabah, Sarawak dan Orang Asli.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kongres yang menjangkakan kehadiran kira-kira 3,000 peserta itu turut terbuka kepada parti politik meliputi pihak pembangkang.

“Kita buta warna dalam soal ekonomi Bumiputera,” katanya pada sidang media selepas Majlis Prapeluncuran KEB di Dewan Putra, Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Majlis Prapeluncuran KEB disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi,
Datuk Nor Azmie Diron.

Hadir sama, barisan kabinet termasuk Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

KEB akan diadakan sehingga 2 Mac ini di Putrajaya anjuran Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Majlis Amanah Raya (MARA).

Bertemakan Positif, Progresif dan Inovatif, KEB 2024 bertujuan mencadangkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda pemerkasaan Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

Mengulas lanjut, menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, program selama tiga hari itu melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada sesi libat urus terdiri daripada 10 kumpulan terpilih.

Antaranya, Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Pendidikan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) Pilihan Kerjaya Utama; Pengukuhan Industri Halal serta Penciptaan kekayaan dan Penguasaan Korporat.

“Pada hari kongres, pembentangan sesi libat urus akan diadakan di mana pembentangan dibuat pengerusi setiap kluster. Mereka diberikan masa agak ringkas untuk membentangkan dan akan mengemukakan resolusi mewakili setiap kluster.

“Rumusan akan dipersembah kepada Perdana Menteri yang akan menutup kongres pada 2 Mac sebelah petang,” katanya.

Jelasnya, KEB 2024 membabitkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia termasuk Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazan Dusun serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak.

“KEB 2024 juga akan menggali beberapa aspek teknologi baharu dan peluang baharu dalam bidang yang belum terjangkau di negara ini dan kita akan melihat unjuran 10 hingga 20 tahun akan datang dan apa yang diperbincangkan di peringkat sekretariat dengan memperkasakan institusi dan agensi yang diwujudkan sejak kongres pertama pada 1965.

“Kita juga mahu melihat bahawa peranan agensi itu dinilai keberkesanan dan pemerkasaan dilakukan berdasarkan dapatan kajian daripada setiap kluster,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini