ISKANDAR PUTERI: Kebakaran di Kawasan Perindustrian SILC Iskandar Puteri di sini membabitkan empat gudang yang menyebabkan kecederaan terhadap tiga warga asing berjaya dipadam sepenuhnya petang semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Muhammad Al-Mustakin Abdul Hady berkata, kebakaran itu berjaya dikawal jam 1.34 petang, menyebabkan tiga gudang musnah sebanyak 80 peratus dan sebuah lagi musnah sebanyak 10 peratus.
Katanya hasil siasatan awal mendapati kebakaran bukan bermula dari salah sebuah gudang penyimpanan kimia yang mempunyai thinner.
“Keempat-empat gudang merupakan gudang penyimpanan yang dimiliki oleh tiga syarikat berlainan dan kita dapati kebakaran bukan bermula dari gudang simpanan ‘thinner’ dan ‘solvent’.
“Kebakaran bermula dari gudang yang hujung sekali, tetapi dua buah gudang di tengah mempunyai bahan bahan simpanan ‘thinner’ dan ‘solvent’ yang menyebabkan ia merebak.
“Setakat ini kebakaran terkawal, pihak bomba sedang membuat ‘over haul’ bagi memastikan semua punca api telah dipadamkan sepenuhnya, dan kita akan memastikan tiada punca api yang boleh menjadi punca kebakaran selanjutnya,” katanya dalam sidang media selepas melawat lokasi kebakaran di Kawasan Perindustrian SILC di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Al-Mustakin, punca kejadian masih dalam siasatan pihak forensik bomba.
Katanya siasatan akan dijalankan selepas operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya.
“Kita gunakan bahan buih pemadam (foam) dalam mengawal kebakaran ini kerana terdapat gudang simpanan mempunyai bahan kimia ‘thinner” dan ‘solvent’ yang mana sekiranya kita memadam menggunakan air api akan tambah merebak.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah menjalankan pemadaman kebakaran dengan menggunakan beberapa aliran air dari jentera bomba pelbagai balai. Seramai 54 anggota dan pelbagai jentera termasuk FRT, CFRT, EMRS, Foam Tender, dan Water Tanker 20,000 liter terbabit dalam operasi ini.
“Bahan buih pemadam (foam) sebanyak 25 liter dalam 10 tong turut digunakan untuk memadam api yang membabitkan bahan kimia.
“Pihak berkuasa juga menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini, kerana sebarang maklumat yang tidak tepat boleh mengganggu siasatan dan usaha pemulihan yang sedang dijalankan,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner, M. Kumarasan ketika dihubungi berkata, ketiga-tiga mangsa yang cedera berusia 30 hingga 40 tahun masih menerima rawatan di Zon Merah wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Terdahulu beberapa video insiden kebakaran itu tular di media sosial, yang memaparkan mangsa mengalami kecederaan akibat melecur di seluruh anggota badan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.