comscore
Tumpuan :
Nasional

Kebakaran aktif kian membimbangkan, angka korban kebakaran hutan Chile kini 112 orang

SANTIAGO: Jumlah kematian yang disahkan akibat kebakaran hutan di tengah Chile meningkat kepada 112, kata seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri.

Timbalan Setiausaha, Manuel Monsalve pada sidang media berkata, pemeriksa perubatan menerima “112 mayat dengan 32 daripadanya sudah dikenal pasti,” sambil menambah masih terdapat 40 kebakaran aktif di negara itu.

Sebelum ini dilaporkan dalam tempoh dua hari lalu, kebakaran hutan memusnahkan antara 30,000 hingga 43,000 hektar hutan.

Kebimbangan terbesar pihak berkuasa ialah beberapa kebakaran aktif berkembang sangat dekat dengan kawasan bandar mempunyai potensi sangat tinggi untuk menjejaskan orang ramai, rumah dan kemudahan.

Kebakaran itu didorong oleh gelombang panas dan kemarau yang menjejaskan bahagian selatan Amerika Selatan, yang disebabkan fenomena cuaca El Nino.

Saintis sebelum ini memberi amaran bumi semakin panas, sekali gus meningkatkan risiko bencana alam seperti panas terik dan kebakaran.

Ketika Chile dan Colombia bergelut dengan peningkatan suhu, gelombang haba juga mengancam untuk melanda Argentina, Paraguay dan Brazil dalam tempoh beberapa hari lagi. – AGENSI

Loading...
Terkini