comscore
Tumpuan :
Nasional

Kebakaran bahan kimia, JAS & Kualiti Alam pantau udara

Tempat simpanan logistik sisa bahan kimia berjadual di Bukit Pelanduk, Port Dickson musnah dalam kebakaran, petang semalam.

SEREMBAN: Pusat Pengurusan Sisa Kualiti Alam, di sini memantau keadaan udara dan air khususnya di sekitar Bukit Pelanduk, Port Dickson di sini susulan kebakaran tempat simpanan bahan kimia berjadual di kawasan itu petang semalam.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata pihaknya sudah ke tempat kejadian untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai insiden itu.

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan untuk menentukan punca kebakaran selepas menerima panggilan dari tempat kejadian.”

“Mereka berjaya mengawal api supaya tidak merebak ke kawasan lain dan masih menunggu jangkaan kerosakan daripada pihak Kualiti Alam,” katanya dalam satu kenyataan, lewat semalam.

Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

“Kami mahu memberi kepastian bahawa pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri mengambil tanggungjawab untuk menangani kejadian ini dengan cekap dan berkesan.”

“Semoga kejadian ini dapat diatasi dengan segera dan langkah pencegahan yang diperlukan dapat diambil untuk mengelakkan berulangnya kebakaran yang sama di masa hadapan.”

“Kami masih menunggu laporan terperinci daripada Kualiti Alam dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Pada masa yang sama pihak Kualiti Alam memantau keadaan udara dan air dipersekitarannya,” katanya.

Mengikut maklumat awal pihak bomba, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 6 petang dan api dapat dikawal jam 8.18 malam.

Sementara itu, pemilik pusat simpanan berkenaan, Cenviro Sdn Bhd merayu kepada masyarakat supaya tetap tenang.

“Pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk JBPM serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di tempat kejadian dan menguruskan situasi.”

“Semua pekerja Cenviro selamat dievakuasi ke tempat perjumpaan yang ditetapkan dan orang awam dinasihatkan supaya tidak panik atau menyebarkan maklumat palsu di media sosial atau aplikasi pesanan.”

Cenviro menambah, pihaknya akan terus memberikan kemaskini sebaik sahaja maklumat baharu tersedia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini