comscore
Tumpuan :
Nasional

Kebakaran di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras

Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras. – FOTO: MRT.COM.MY

KUALA LUMPUR: Satu kebakaran berlaku di bilik alatan komunikasi Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.52 petang tadi.

Seramai 23 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan Cheras dikejarkan ke tempat kejadian.

Sebaik tiba pada kira-kira jam 4.57 petang, bomba mendapati kebakaran membabitkan tempat penyimpanan bateri di bilik alatan komunikasi itu.

Kebakaran dapat dikawal pada jam 6.26 petang.

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd menerusi kenyataan di laman webnya berkata stesen berkenaan ditutup sementara ekoran insiden itu.

Menurut Rapid Rail, kejadian berlaku jam 4.43 petang tadi.

Katanya, pihak pusat kawalan operasi mengambil keputusan untuk menutup stesen berkenaan setelah mendapat arahan daripada pihak bomba dan semua tren tidak berhenti di stesen tersebut.

Perkhidmatan bas perantara telah diaktifkan bagi memastikan kesinambungan perjalanan penumpang yang terjejas.

Perkhidmatan tren bagi stesen-stesen lain tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

Rapid Rail mengesahkan tiada kecederaan kepada penumpang dan petugas operasi akibat kejadian tersebut.

Menurut Rapid Rail, pihaknya akan memaklumkan perkembangan mengenai pembukaan semula stesen ini setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Punca kebakaran masih disiasat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini