comscore
Tumpuan :
Nasional

Kebakaran Kecil Di HTAA Hanya Jejas Sistem Perubatan

PETALING JAYA: Tiada kemalangan jiwa dilapor membabitkan kebakaran kecil yang berlaku di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) tengah hari tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, kebakaran itu telah menjejaskan bekalan elektrik kepada sistem perubatan.

“Kejadian melibatkan kebakaran kecil pada Main Switch Board (MSB) di blok bangunan bersebelahan dengan bangunan unit sajian hospital.

“Kebakaran kecil itu telah menjejaskan bekalan elektrik kepada sistem perubatan termasuk sistem penghawa dingin dan hampagas di blok utama hospital.

“Bagaimanapun, sistem bekalan oksigen dan bekalan umum seperti lampu, kipas dan telefon tidak terjejas sama sekali. Kebakaran tersebut telah dapat dikawal oleh petugas syarikat konsesi dengan segera dan tiada
sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, hampir keseluruhan sistem yang terjejas telah dipulihkan tepat jam 8 malam tadi.

Bagaimanapun, sistem hampagas yang masih dalam proses pemulihan dan dijangka pulih sepenuhnya menjelang tengah malam ini.

“Pengoperasian di wad, Dewan Bedah dan Unit Rawatan Rapi (ICU) masih berjalan seperti biasa tanpa perlu melakukan pemindahan pesakit. Pasukan forensik Bomba
dan Penyelamat juga masih lagi melakukan pemeriksaan dan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” ujarnya.

Tegas beliau, pihak hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) tidak akan memandang ringan kejadian ini dan akan terus mengambil langkah berjaga-jaga selepas ini.

Loading...
Terkini