
KUALA LUMPUR: Kebakaran kereta milik seorang pempengaruh media sosial warga Nigeria di Jalan Tasik Raja Lumu, Seksyen U4, Shah Alam dekat sini, semalam disyaki berpunca perbuatan khianat.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata mangsa yang juga seorang ‘TikTokers’ berusia 39 tahun tampil membuat laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.19 petang hari kejadian.
Katanya, pengadu menyatakan meletakkan kenderaan jenis Perodua Axia di tepi jalan di Seksyen U4, Shah Alam untuk membuat rakaman video bagi konten TikTok, kira-kira jam 10.17 pagi.
“Selesai rakaman video kira-kira 1.05 tengah hari, pengadu datang semula ke tempat dia meletakkan kereta dan mendapati kenderaannya sudah terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bomba Selangor hadir memadamkan kebakaran kereta tersebut dan Bahagian Forensik Bomba Selangor telah menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kebakaran kereta.
“Ekoran daripada laporan serta kejadian tersebut, pihak Polis Daerah Sungai Buloh membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat api/bahan letupan.
“Kita meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini untuk hadir ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ekmal Hasif Mohd Noor di talian 011-35396787 bagi membantu siasatan,” katanya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, semalam dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.55 petang.
Susulan itu, beliau berkata, sebuah pasukan diketuai komander operasi, Marzu Abdullah, bersama enam anggota serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong digerakkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.