comscore
Tumpuan :
Nasional

Kebakaran lima rumah, seorang wanita terkena renjatan elektrik

KOTA BHARU: Seorang wanita terkena renjatan elektrik dalam kejadian kebakaran membabitkan lima buah rumah di Kampung Lundang, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang berusia 36 tahun dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Ramli Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.15 pagi dan jentera tiba di lokasi lima minit kemudian.

Katanya, sebaik menerima panggilan, seramai 31 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim, BBP Kota Bharu, BBP Tunjong, BBP Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran membabitkan tiga rumah jenis separuh kekal yang musnah 100 peratus, manakala dua buah rumah jenis kekal musnah 70 peratus.

“Dalam kejadian itu, turut menyebabkan dua buah kereta iaitu Proton Preve dan Proton Persona serta sebuah motosikal Yamaha Y15 musnah 100 peratus,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 4.45 pagi.

“Operasi tamat pada jam 6.02 pagi, namun pasukan bomba masih memantau keadaan sekitar kawasan kebakaran itu.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini