comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kebakaran SK Permatang Tok Kandu, blok terbakar ditutup

Oleh: Selwam Arjunan

BUKIT MERTAJAM: Blok bangunan yang terbakar di Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Kandu, di sini, petang tadi akan ditutup sehingga proses baik pulih siap sepenuhnya dan dijamin keselamatan oleh pihak berkuasa.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata tindakan itu diambil bagi memastikan keselamatan warga sekolah, namun proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) akan diteruskan menerusi kaedah yang sesuai.

“Proses penilaian kerosakan dijangka akan mengambil masa, sekurang-kurangnya selama dua minggu untuk mengenal pasti tahap kerosakan keseluruhan.

“Selepas itu KPM akan meluluskan peruntukan yang diperlukan (untuk kerja-kerja pembaikpulihan) sebagai bantuan bencana.

“Dalam aspek penerusan pendidikan, jaminan perlu diberikan kepada ibu bapa bahawa PDP akan diteruskan dalam keadaan apa sekali pun.

“Cuma mekanisme itu akan diputuskan nanti sama ada Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PDPR) ataupun kelas berganti, yang akan ditentukan dalam pertemuan ibu bapa dengan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan petang tadi.

Katanya, masih terdapat ruang di bangunan lain yang tidak terjejas bagi murid-murid meneruskan PDP, namun kaedah yang paling sesuai akan diputuskan oleh pihak berkepentingan selepas mengambil kira semua aspek.

Sementara itu, beliau memohon ibu bapa dan waris bersabar dan memberi ruang kepada pihak bertanggungjawab untuk melakukan tugas bagi memastikan keselamatan sekolah terjamin.

“Kita minta ibu bapa murid bersabar kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan melakukan siasatan dan juga Tenaga Nasional Berhad akan memeriksa sistem pendawaian secara keseluruhan.

“Sehingga kerja-kerja itu selesai, blok ini terpaksa ditutup dan ruang lain akan digunakan jika diperlukan,” katanya lagi.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada JBPM atas tindakan segera dan mengawal kebakaran dalam masa setengah jam sebelum api merebak ke bahagian lain.

Dalam kejadian jam 6.02 minit petang itu, lima bilik darjah di tingkat tiga hangus dijilat api.

Tiga bilik darjah musnah 100 peratus, manakala dua bilik darjah musnah 40 peratus.

Ia merupakan sekolah dua sesi, namun murid-murid sesi petang telah pulang sebelum kejadian.

Guru-guru dan kakitangan yang masih berada di sekolah ketika kejadian cuba memadam kebakaran, namun api telah marak dan tidak dapat dikawal.

Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran.

| ARTIKEL BERKAITAN: 

Loading...
Terkini