PETALING JAYA: “Orang perempuan selalu kacau, seperti panggil-panggil, mengusik. Ramai juga yang bergaduh dengan orang tempatan dan ada yang kurang ajar.”
Itu antara keluhan penduduk sekitar Alam Jaya yang mendakwa dibelenggu rasa tidak selamat, susulan masalah sosial dicetuskan warga asing di kejiranan mereka.
Penduduk turut mendakwa golongan itu ‘buat kecoh’ pada waktu malam, terutama pada hujung minggu.
Apabila ditegur, ada warga asing yang menjawab “saya punya suka hati lah,” menurut penduduk.
Berdasarkan aduan penduduk dan hasil risikan selama tiga minggu, satu Operasi Bersepadu dilancarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan turut disertai Jabatan Imigresen Selangor, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor bagi membanteras isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Bandar Puncak Alam, baru-baru ini.
Operasi berkenaan menggempur 25 buah pangsapuri empat tingkat sekitar Taman Perindustrian Alam Jaya yang dikesan menjadi penempatan PATI.
Rata-rata unit kediaman yang diperiksa didiami kira-kira lima hingga 10 orang penghuni warga asing dilengkapi tiga bilik tidur dipercayai disewa oleh majikan.
Pemeriksaan mendapati, warga asing yang ditahan hanya menggunakan salinan pasport kerana dokumen perjalanan diri yang asli disyaki disimpan oleh pihak majikan.
Pihak berkuasa turut menyerbu dua bangunan rumah kedai yang diubah suai menjadi asrama pekerja warga asing.
Seramai 684 warga asing berusia lingkungan 24 hingga 55 tahun berjaya ditahan, dan hasil pemeriksaan mendapati 94 warga asing disyaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.
Turut ditahan wanita warga asing berusia 39 tahun yang mendakwa terpaksa menangguhkan urusan memperbaharui visa pelawat kerana kematian suami pada tahun lalu.
Menurut wanita itu, dia telah menetap di Malaysia selama 14 tahun dan telah berkahwin dengan warganegara namun masih tidak mempunyai permit yang sah.
Kesemua PATI ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tonton ‘PATI Alam Jaya’ dan pelbagai rangkuman kes sepanjang minggu dalam program 999 malam ini di TV3.
Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.