
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melanda kebanyakan negeri sehingga jam 6 petang ini.
Dalam hantaran di laman Facebooknya METMalaysia memaklumkan cuaca itu diramal berlaku di seluruh Selangor, Melaka, Johor selain ibu kota dan Putrajaya .
Beberapa negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak juga akan mengalaminya.
Katanya, di Kedah membabitkan kawasan Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan); serta Machang dan Kuala Krai di Kelantan.
“Di Perak membabitkan kawasan Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu selain daerah Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.
“Di Negeri Sembilan pula, ramalan cuaca sama diramal melanda Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau; Sarawak (Kuching, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu (Tatau) dan Limbang).
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut diramal di kawasan Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) di Sabah,” katanya menurut hantaran itu.
METMalaysia memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.