
IPOH : Kebergantungan import makanan yang tinggi mencecah RM75.5 bilion tahun lalu merupakan cabaran yang perlu ditangani bagi meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, trend juga menunjukkan peningkatan defisit perdagangan dalam sektor agromakanan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Justeru, menurutnya, potensi sektor agromakanan perlu dikembangkan sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara.
“Prestasi pertumbuhan sektor agromakanan di negara kita kekal positif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan domestik.
“Fokus kerajaan Madani masa kini berada dalam landasan yang tepat untuk mengangkat dan memartabatkan sektor agromakanan,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah.
Kebergantungan import makanan yang tinggi mencecah RM75.5 bilion tahun lalu merupakan cabaran yang perlu ditangani bagi meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara. pic.twitter.com/cjQrTAXT5x
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 11, 2023
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar berkata, menerusi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan dengan peruntukan RM400 juta, ia memberikan tumpuan khusus untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan yang masih bergantung kepada sumber import.
Keterjaminan makanan turut diberikan tumpuan khusus dalam Agenda Mampan Belanjawan 2024 yang bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat.
Katanya, Belanjawan Madani Kedua itu merupakan cerminan kepada usaha memperhebat kelangsungan industri agromakanan negara dengan pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam menyediakan insentif secara inklusif kepada pengeluar makanan.
Bagaimanapun, jelasnya, pengumuman itu perlu disusuli dengan tindakan tuntas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan pelaksanaannya berjaya.