comscore
Tumpuan :
Artikel

Kebergantungan terhadap media sosial punca kemurungan mahasiswa

Oleh Dr. Norsafatul Aznin A. Razak

Statistik dari Kementerian Komunikasi dan Digital (2022) yang merekodkan seramai 28 juta pengguna media sosial menunjukkan kebergantungan terhadap media sosial sebagai satu platform untuk tujuan jaringan perhubungan, perbincangan mahupun perkongsian pandangan sememangnya tidak boleh dinafikan.

Oleh yang demikian, individu terdorong untuk mencari media sosial bagi mengesahkan bahawa apa yang mereka rasakan, fikirkan, malah tindakan yang dizahirkan dalam media sosial secara terang-terangan adalah benar atau boleh diterima oleh orang lain. 

Merujuk kepada konteks pengesahan di media sosial, ia boleh diklasifikasikan sebagai proses pengakuan atau penerimaan, pembuktian bahawa suatu pemikiran, perasaan, tindakan individu itu adalah benar, malah ia merupakan satu sokongan dan tindakan seseorang diterima di lingkungan sosialnya. 

Secara psikologinya, manusia memiliki naluri untuk kekal berhubung dan rasa ‘keterikatan’ untuk mengembangkan rasa dipunyai dan difahami. Namun, dalam era kepesatan internet dan teknologi, media sosial telah menjadi wadah untuk membangun keterikatan, karakter, dan validasi yang menjadi satu bentuk sokongan dan mungkin boleh terdedah kepada ancaman.

Malah, semakin ramai individu yang cenderung menilai kebahagiaan hidup berdasarkan cara mereka diterima di media sosial yang diukur berdasarkan jumlah tanda suka, komen-komen berbaur pujian, sanjungan dan status yang dikongsi di segenap platform.

Apa yang membimbangkan sekiranya media sosial sudah menjadi alat pengesahan mutlak untuk mencerminkan kebahagiaan hidup seseorang. Lebih malang sekiranya perkara-perkara negatif seperti tingkahlaku agresif, kata-kata berbaur provokasi dan bersifat memfitnah turut dinormalisasikan oleh masyarakat atas dasar menghormati dan mengakui hak kebebasan bersuara.

Pengesahan khususnya di media sosial memiliki impak negatif khususnya kepada kesihatan mental sekiranya tidak diuruskan dengan baik. Bermula sebagai ‘sokongan’ boleh beralih kepada suatu bentuk ancaman. Sebagai contoh, tidak semua perkara yang dimuat naik di media sosial perlu diperakukan oleh semua penonton. Apalagi, dengan teknologi yang semakin berkembang, foto atau video mampu direka/diedit sehingga kelihatan menarik dan indah.

Data dari Pew Research Center yang menunjukkan 1 daripada 5 mahasiswa terdedah dengan kemurungan disebabkan penggunaan media sosial yang berlebihan boleh menjadi satu titik penting untuk diberi perhatian oleh semua pihak dalam mengendalikan media sosial dengan lebih baik.

Selalunya, tingkah laku mencari perhatian di media sosial sering dianggap karakter yang lemah, dramatik atau manipulasi keadaan. Walau bagaimanapun, tingkah laku ini berkemungkinan merupakan satu manifestasi kepada trauma atau gangguan psikologi yang amat menyakitkan. Daripada kita meremehkan atau memandang negatif tindakan individu yang menzahirkan sesuatu di media sosial, adalah penting untuk kita mencari makna dan pemahaman untuk membantu seseorang yang sedang menangis dalam kesakitan. 

Sudah tiba masanya kita menjadi pendengar yang baik kepada insan sekeliling kerana media sosial tidak boleh menggantikan peranan kita sepenuhnya sebagai ejen komunikasi, penghubung dan penyokong dalam sesuatu perhubungan atau kelangsungan hidup individu sekeliling kita. Jadilah pengguna media sosial yang bijak.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Buletin TV3.

Dr. Norsafatul Aznin A. Razak. Penulis merupakan pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan Dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected]

 

Loading...
Terkini