
Oleh: Selwam Arjunan
BUTTERWORTH: Kebocoran asid di makmal mencemaskan warga Sekolah Menengah Kebangsaan St Mark, di sini, sebelum pihak berkuasa bertindak awal dan mengawal keadaan, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.56 pagi.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dan pasukan Hazmat dari BBP Perai digerakkan ke sekolah untuk tindakan segera.
“Apabila pasukan bomba tiba di tempat kejadian, didapati terdapat kebocoran melibatkan satu botol asid jenis ‘Ethanoic’ dengan kuantiti 1 liter telah pecah di dalam bilik makmal.
“Tindakan awal dengan membuat penguncian bangunan dan pasukan Hazmat sedang menjalankan kerja-kerja nyah cemar bahan kimia tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan, ujarnya.