comscore
Tumpuan :
Nasional

Kedah mohon Kerajaan Persekutuan segerakan kelulusan geran tambahan pembangunan LRA

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah memohon Kerajaan Persekutuan menyegerakan kelulusan geran tambahan bagi pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) di negeri itu, yang kini mengalami kelewatan susulan peningkatan kos bahan binaan.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata peningkatan kos yang dimaksudkan adalah diantara 40 hingga 70 peratus melibatkan pelbagai barangan, khususnya besi.

“Saya harap pihak Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dapat menyegerakan pertimbangan penambahan geran sesuai dengan kenaikan yang dimaksudkan. Jika tidak diberi kenaikan, kontraktor akan berhadapan kesukaran untuk menyiapkan projek-projek ini.”

“Permohonan variasi harga (VOP) sebelum ini mengambil masa lebih setahun untuk diluluskan. Jika tempoh masa sama diambil untuk kelulusan tambahan ini, maka projek ini akan mengalami kelewatan,” katanya.

Sanusi menambah, kerajaan negeri mengusahakan penambahan pinjaman bagi projek LRA yang dibangunkan tanpa suntikan geran dari kerajaan persekutuan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan dibuat Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir selepas melawat tapak projek LRA Bukit Selambau baru-baru ini.

Jelasnya, beliau turut kesal kerana Akmal Nasrullah tidak mengadakan pertemuan bersama Kerajaan Negeri bagi membolehkan penjelasan sebenar dibuat mengenai isu kelewatan berkenaan, sebaliknya hanya bertemu Syarikat Air Darul Aman (SADA) sahaja.

Akmal dalam lawatannya ke lokasi LRA Bukit Selambau yang sepatutnya siap tahun lalu, mendapati projek itu dalam keadaan ‘sakit’ apabila projek itu masih di peringkat menyediakan tapak selain tidak ada langsung struktur besi yang dibina setakat ini.

Selain Bukit Selambau, empat lagi LRA sedang dalam proses pembinaan adalah di Pelubang, Sungai Limau, Lubuk Buntar dan Jenun Baru.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini