comscore
Tumpuan :
Nasional

Kedah tubuh jawatankuasa “The Greater Kedah”, terbuka kongsi maklumat dalam PADU

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah sedia berkongsi maklumat diperlukan bagi dilengkapkan di dalam Pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU).

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan persekutuan bagi kelancaran kerjasama dua hala.

“Kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G to G), tidak ada masalah. Kita juga ada agenda pembangunan “The Greater Kedah” yang turut menyediakan laporan bagi menyatukan semua data dan maklumat dari pelbagai agensi dan anak syarikat di negeri ini.”

“Tidak ada masalah sekiranya ada keperluan untuk perkongsian maklumat diperlukan,” katanya selepas mepengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mengumumkan pembentukan jawatankuasa “The Greater Kedah” yang akan dipengerusikan oleh Exco Industri dan Pelaburan, Jawatankuasa Pengajian Tinggi dan Sains, Dr Haim Hilman Abdullah.

Jawatankuasa itu katanya akan menyemak aktiviti dan membuat kemaskini tahunan bagi makluman orang ramai.

“Jawatankuasa ini akan diwakili oleh beberapa pegawai kanan kerajaan negeri, dan pakar dalam bidang terpilih yang dilantik.”

“Sebelum ini semua maklumat ini tidak disatukan. Kita akan kumpulkan data ini dan memberikan penekanan bagi mencapai matlamat “The Greater Kedah”,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan PADU, iaitu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia.

Maklumat profil dalam sistem itu akan dikemas kini secara berkala melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber, antara lain bagi merapatkan jurang sosioekonomi dengan memenuhi keperluan rakyat serta mengimbangi pembangunan.

Loading...
Terkini