comscore
Tumpuan :
Nasional

Kedai makan terbakar, dua beranak melecur

Kebakaran membabitkan dua bengkel dan sebuah kedai makan di Kampung Belukar, Panji. – FOTO: JBPM

KOTA BHARU: Dua beranak melecur di beberapa bahagian badan termasuk muka ketika cuba menyelamatkan diri dari kebakaran kedai makan di Kampung Belukar, Panji di sini, pagi tadi.

Difahamkan ketika kebakaran sekitar jam 4.50 pagi itu, Mohd Azlan Mohd Zain, 33, dan ibunya, Hayati Husin, 53, sedang tidur dalam premis milik mereka sebelum dikejutkan dengan kejadian itu.

Ketua Balai Bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.59 pagi sebelum 32 pegawai dan anggota dari BBP Kota Bharu, Pengkalan Chepa serta Darul Naim bergegas ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan sebuah kedai makan dan dua bengkel kereta jenis kekal berkeluasan 20 x 50 kaki persegi setiap dengan kemusnahan 95 peratus.

“Dua mangsa yang juga anak dan ibu melecur di bahagian tangan dan muka ketika menyelamatkan diri.

“Anggota dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal sebelum kedua mangsa itu dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zukeri berkata, anggota bomba juga turut bertindak menolak beberapa kereta yang berada dalam dua bengkel untuk diselamatkan dari rentung dalam kebakaran.

Katanya lagi, kebakaran dapat dikawal pada jam 5.45 pagi sebelum berjaya dipadam sepenuhnya satu jam kemudian.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini