comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kedutaan Malaysia di Lubnan diarah berjaga-jaga

KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan diarah bersiap siaga dan memantau keadaan rakyat Malaysia di negara itu.

Ia berikutan konflik Palestin – Israel menular ke selatan negara berkenaan.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata terdapat 12 rakyat Malaysia bermastautin di Lubnan dan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan sudah berhubung rapat dengan mereka.

Anggota tentera Lubnan berkawal di Khiam, berhampiran sempadan Israel, di selatan Lubnan. – FOTO Reuters

“Kerajaan turut mengarahkan pihak kedutaan memantau keadaan pasukan pengaman ATM-PBB iaitu MALBATT yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

“Dalam keadaan semasa, warga Malaysia disaran agar dapat menangguhkan perjalanan yang tidak penting (non-essential travel) ke Lubnan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sebagai langkah awal, kerajaan turut memutuskan ahli keluarga kakitangan Kedutaan Besar Malaysia kembali ke Malaysia sehingga keadaan benar-benar selamat.

“Ini sebagai langkah pro-aktif kerajaan bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia menjadi keutamaan negara,” katanya.

Bagaimanapun, katanya Kedutaan Besar Malaysia akan terus beroperasi seperti biasa.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular dan mempunyai pertanyaaan boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut.

Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan beralamat di Lot 170, Saad Zaghloul Street Downtown Beirut, Lebanon dan boleh dihubungi menerusi talian +961 (1)1970207 (pejabat) atau +961-71380063 (telefon bimbit) atau emel di [email protected].

Loading...
Terkini