Tumpuan :
Nasional

Kegiatan simpan barang kawalan bersubsidi di Bera tumpas

Anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menyita barang kawalan bersubsidi di Bera. FOTO / KPDN Pahang

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang membongkar kegiatan menyimpan barang kawalan bersubsidi di Bera, pagi tadi.

Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata kejayaan itu dilakukan menerusi dua serbuan serentak oleh anggota penguat kuasa Kuantan dan Bera di sebuah rumah serta restoran pada jam 10 pagi.

Katanya, berdasarkan aduan, premis restoran terbabit menggunakan barang kawalan bersubsidi dalam menjalankan perniagaan selain turut menjadikan rumah sebagai stor simpanan barang kawalan bersubsidi.

“Hasil semakan yang dibuat mendapati terdapat bekalan gula bertapis kasar di premis restoran dan minyak masak peket bersubsidi di dalam rumah pemilik restoran iaitu melebihi had simpanan yang dibenarkan.

“Pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen yang berkaitan bagi pemilikan barang kawalan bersubsidi terbabit.

“Berikutan itu, sebanyak 205 kilogram minyak masak peket bersubsidi dan 20 kilogram gula putih bertapis kasar serta dokumen perniagaan lain yang berkaitan disita untuk tujuan siasatan.

“Dua kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan melebihi had yang disyaratkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kes itu, Jezlily berkata pihaknya memberi amaran keras terhadap individu atau syarikat berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

“Pada masa sama, KDN mengalu-alukan maklumat daripada pengguna untuk bersama membantu menjadi mata dan telinga kementerian dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga melalui pelbagai medium penyaluran aduan disediakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini