comscore
Tumpuan :
Nasional

Kehadiran cacing cetus tanda tanya

Sakinah menunjukkan cacing yang ditemui naik ke permukaan tanah. – FOTO: Ihsan Sakinah Zamri

SETIU: Misteri kehadiran puluhan cacing di permukaan tanah di Kampung Merang menimbulkan tanda tanya dan rasa hairan penduduk setempat.

Tabiat puluhan cacing yang seakan berhijrah dari satu kawasan ke kawasan lain itu disedari berlaku sejak Jumaat lalu.

Penduduk, Sakinah Zamri, 26, berkata, dia menyedari cacing memenuhi halaman rumah ketika sedang membersihkan kawasan rumahnya.

“Saya melihat banyak cacing bergerak di permukaan tanah seakan-akan sedang berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain.

“Memandangkan pada hari Jumaat lalu cuaca sedikit panas oleh itu menyangka fenomena itu kerana cacing kepanasan seterusnya hanya bersifat sementara.

“Bagaimanapun sangkaan saya meleset kerana fenomena itu berlanjutan sehingga ke hari ini,” katanya.

Tambahnya, sejak daripada kecil dia tinggal di kawasan itu dan pertama kali menyaksikan fenomena seperti itu berlaku.

“Ibu bapa saya juga hairan dan menganggap ia tidak pernah berlaku dan pertama kali melihatnya.

“Jika seekor atau dua ekor cacing yang berada di atas permukaan tanah itu mungkin perkara biasa.

“Tetapi apabila lebih puluhan cacing keluar dari tanah dan bergerak ke kawasan lain pada setiap hari ia menimbulkan tanda tanya dan perasaan bimbang sekiranya ia petanda sesuatu yang buruk bakal berlaku,” ujarnya.

Loading...
Terkini