Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
BAGAN DATUK: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap kehadiran beliau pada Persidangan Tahunan DAP tidak dimanipulasi pihak tertentu untuk tujuan propaganda politik.
Katanya meskipun UMNO dan DAP pernah menjadi seteru politik sebelum ini, landskap politik negara telah berubah sejak tampuk kepimpinan negara diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya menyantuni kerana pada Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini,kepimpinan utama DAP YB Anthony Loke telah datang ke Perhimpunan Agung UMNO jadi oleh kerana kita berada dalam satu gagasan parti gabungan jadi orang berbudi kita berbahasa,” katanya selepas hadir pada program Penutupan Program Malaysia Next Leaders Bagan Datuk 2023 di Dewan Dato’ Lope Hashim di sini hari ini.
“Dan kita menghormati antara satu sama lain melalui prinsip yang telah dinyatakan oleh kepimpinan DAP perkara yang termaktub dalam perlembagaan dihormati.
“Dan itulah komitmen yang mereka perlihatkan dan tadi pun beliau telah mengulangi dalam ucapan dasar dan saya harap ini tidak mengelirukan masyarakat Islam dan orang Melayu,” katanya.
Tambahnya kerjasama erat parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan telah dibuktikan melalui kemenangan Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.
Media hari ini melaporkan Datuk Seri Ahmad Zahid memecah tradisi apabila menjadi Presiden UMNO pertama menghadiri Persidangan Tahunan DAP 2023 yang berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya pagi tadi.