comscore
Tumpuan :
Nasional

Kehadiran paus petunjuk ekosistem marin Malaysia sihat – Penyelidik

Penampakan paus bongkok di perairan Pulau Redang. – Foto tular

KUALA TERENGGANU: Kehadiran paus di perairan negara menjadi indikator penting sekiranya ekosistem marin Malaysia adalah sihat dan mampu menyokong hidupan megafauna itu.

Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Muhammad Amirul Siddiq Abdul Rashid berkata, penampakan mamalia marin terutamanya dari spesies Humpback whale atau paus bongkok di perairan Pulau Redang pada Sabtu lepas, membolehkan pihaknya membuat pendokumentasian pola migrasi hidupan laut itu.

“Kehadiran paus daripada spesies ini jarang berlaku di Malaysia, tidak seperti spesies paus bryde. Jadi, ia memberi peluang untuk penyelidik menjalankan dokumentasi migrasi mereka selain memberi data sokongan tentang kepelbagaian biologi serta habitat yang ada di kawasan itu.

“Setakat ini, belum dikenal pasti lagi faktor ia muncul di Malaysia. Bagaimanapun, berdasarkan spesies Humpback whale seluruh dunia, ada kemungkinan ia merantau jauh sedikit daripada jarak biasa dari habitat asalnya di perairan dingin seperti Laut Artik atau Laut Antartika,” katanya kepada Bernama.

Amirul Siddiq berkata, meskipun mamalia marin itu tidak membahayakan manusia namun sebarang gangguan boleh menyebabkan reaksi defensif hidupan berkenaan sekali gus menekankan mengenai Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 yang melarang sebarang bentuk gangguan terhadap paus.

“Implikasi gangguan untuk haiwan itu adalah potensi tertekan atau kecederaan fizikal. Ada juga spesies yang boleh kembali mengancam keselamatan manusia seperti killer whale, ia akan menjadi agresif sekiranya berasa terancam,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini