Oleh: Juliana Sharin
KUALA LUMPUR: Keharmonian rakyat di Sarawak dengan pelbagai latar belakang harus diteladani, bagi memupuk semangat perpaduan dalam keluarga besar Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peranan itu boleh dimainkan pelajar Bumi Kenyalang yang berhijrah ke Semananjung sebagai duta.
“Di Sarawak, kita tidak ada rasa beza mengenai latar belakang masyarakat tetapi boleh hidup sebagai keluarga tanpa mengira latar belakang, kebudayaan, kepercayaan masing-masing.
“Kita hidup sebagai keluarga besar Sarawak dan inilah terus diamalkan sehingga kini. Persefahaman serta sikap saling menghormati dan membantu yang begitu kuat dalam kalangan rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman antara PETRONAS dan Yayasan Sarawak di ibu negara.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi yakin pendekatan itu mampu menoktahkan pertelagahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat.
“Semoga Semenanjung pun dapat juga hidup dalam keadaan harmoni dan kurangkan segala pertelagahan ketika ini.
“Kita memainkan peranan sebagai rakyat Sarawak yang dapat menghidupkan semangat keluarga besar negara kita,” jelasnya.
Tambahnya lagi antara matlamat utama program pertukaran pelajar yang dianjurkan Yayasan Sarawak sejak 1972 itu adalah untuk membangunkan integrasi nasional.
“Kita menyampaikan informasi kepada mereka, bagaimanakah sebenarnya negeri, budaya dan masyarakat Sarawak, pada masa sama, kita belajar mengenai kebudayaan mereka. Di sinilah yang mengajar erti kehidupan dan memberi kelebihan pada masa hadapan dan mampu memahami budaya setiap masyarakat di negara ini,” katanya lagi.