Tumpuan :
Nasional

Keistimewaan mereka, pencetus semangat untuk berjaya

Nurjiha melihat skrol diploma kebanggaannya bersama-sama kakak sulung, ayahnya yang pelat pekak dan ibunya yang bisu pekak.

Oleh: Vinsla Santiran

KUALA LUMPUR: Kebanyakan kita mungkin dilahir dan dibesarkan oleh ibu dan bapa yang sempurna sifatnya namun bagi Nurjiha Norazman, 22 tahun lain pula ceritanya.

Kedua-dua ibu bapa beliau merupakan Orang Kelainan Upaya pendengaran dan pertuturan namun berbekalkan perjalanan hidup mereka sekeluarga, bukan alasan untuk beliau tidak menamatkan pengajian dengan jayanya di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menggunakan bahasa isyarat dalam sesi temubual yang dikendalikan Annisa’ Azlan bersama ibu dan bapa seorang graduan Diploma Pengurusan Pelancongan, Norzam Sajat dan Norazman Baba, mereka mengatakan bahawa membesarkan anak dalam keadaan yang berbeza berbanding keluarga lain bukanlah satu tugas yang mudah.

“Saya dan suami tak mampu menahan air mata dari mengalir bila tengok anak-anak saya dah jejakkan kaki ke pentas kejayaan, mengingatkan susah payah kami untuk memastikan Aliyah dan Jiha membiasakan diri dengan cara komunikasi bersama ibu bapa mereka,” luah Norzam dengan senyuman.

Sesi temubual menggunakan bahasa isyarat.

Ibu dan bapa kepada Siti Noraliyah Azman iaitu kakak graduan, juga mengakui bahawa perasaan mereka agak sensitif dan mudah tersentuh lebih-lebih lagi kesemua anaknya berjaya menggenggam skrol, juga menjadi simbol kejayaan buat mereka yang membesarkan anak-anak.

Namun begitu, walaupun Norzam dan Norazman merasakan ia adalah kekurangan, tetapi tidak buat anak-anak mereka. Aliyah mengatakan bahawa dia tidak pernah sesekali membandingkan keadaan ibu bapanya dengan keluarga orang lain.

Tambah Aliyah, malah dia merasa bangga yang tak terhingga kerana ibu bapa mereka tetap cuba untuk memastikan dua beradik tersebut merasa cukup dengan kehadiran mereka berdua.

“Saya banyak terima reaksi dari orang sekeliling apabila mereka dapat tahu yang saya ada mak bisu pekak dan ayah yang pelat pekak. Tapi saya bersyukur kerana tanggapan yang saya terima adalah yang baik-baik belaka.

“Lagilah mereka kagum sebab mak ayah saya dapat bagi kehidupan yang sempurna kat anak-anak dalam keadaan mereka yang agak kurang berbanding orang lain. Dahlah mak ayah saya ni manja, selalu tanya kami berdua bila nak balik rumah,” kata Aliyah sambil ketawa.

Nurjiha menambah, kasih sayang dan ketabahan ibu bapa lebih berharga daripada apa jua kekurangan mereka. Sentiasa bersyukur dengan adanya mereka berdua, hidup tetap akan terasa sempurna walaupun terselit ‘kelainan’.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini