
JOHOR BAHRU: “Sudah dua hari saya terputus komunikasi dengan ibu di Gaza, dan hari ini (semalam) mendapat khabar duka daripada keluarga suami menyatakan rumah abang ipar diserang namun tiada kemalangan jiwa.”
Begitu kata graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Akademi Tamadun Islam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Jehad M A Shebab, 41, apabila tidak dapat meraikan kejayaan bersama ibu, Mazouza, 65, dan bapa, Muhammad, 70.
Ibu lima cahaya mata itu berkata, dia meraikan kejayaan gembira dalam duka apabila mengenang nasib 45 ahli keluarga dan saudara-mara yang terkorban dalam peperangan.
“Sebelum ini saya pernah berkongsi berkaitan kejayaan melengkapkan pengajian PhD selama lima tahun dan berita itu dikagumi ibu bapa.
“Kebiasaannya ibu membalas mesej yang saya hantar selepas tujuh atau lapan jam, namun tiada sebarang khabar sejak dua hari lalu. Saya tidak tahu apa berlaku hingga saya tidak mampu melelapkan mata (tidur) kerana memikirkan keselamatan mereka di sana (Gaza),” katanya pada Majlis Konvokesyen ke-67 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.
Jehad berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran, dia bersyukur dapat menamatkan pengajian dengan sokongan suami, Abdal Rahim Shebab, 46, dan ahli keluarga.
Menurutnya, dia bercadang bekerja dalam bidang berkaitan selepas pulang ke Palestin, namun buat masa ini menangguh perancangan itu sehingga keadaan kembali pulih.
Katanya, dia menghargai keprihatin ditunjukkan kerajaan Malaysia, pemimpin mahupun masyarakat di negara ini yang sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin serta menghulurkan bantuan terutama perubatan.
“Perasaan rindu saya terhadap 200 saudara-mara terubat dengan kemesraan kenalan di negara ini yang mengundang kami ke rumah bagi memberi sokongan moral.
“Malah, pada hari bersejarah ini, saya tidak melupakan detik manis menerima ijazah daripada Tuanku Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah kerana membuatkan saya mengenang ibu.
“Saya ingin menghadiahkan kejayaan ini buat ibu bapa di Palestin, semoga mereka dilindungi Allah,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur sejak 10 tahun lalu.