Oleh : Fahiz Ariff, Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal mempertahankan prinsip, tiada mana-mana ahli politik dibenarkan memegang jawatan dalam insitusi kewangan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip yang dipegang itu bukan untuk mendiskriminasi golongan politik sebaliknya ia adalah tindakan bagi mendukung syarat yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.
“Yang dilantik itu profesional apakah mereka itu pernah pegang jawatan politik itu bukan soal siapa yang layak kita tidak discriminate orang politik atau bukan”
“Sebaliknya, keutamaan dan sebahagian besarnya diberikan kepada golongan profesional”
Datuk Seri Anwar berkata demikian sewaktu menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mencadangkan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dilantik daripada golongan profesional dan tidak lagi melantik ahli-ahli politik dan pegawai kerajaan yang masih bertugas atau telah bersara.
Ketika sesi pertanyaan menteri itu juga, Datuk Seri Anwar menjelaskan, semua lantikan ahli-ahli lembaga pengarah adalah melalui semakan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia. (PDRM).
Semakan dilakukan bagi memastikan individu yang dilantik mempunyai rekod yang bersih.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan juga akan mempertingkat dan memperbaiki penilaian prestasi agar tiada ahli-ahli lembaga pengarah melakukan tindakan yang bertentangan dengan prinsip yang telah ditegaskan.
“Bila ada pemantauan yg keras maka tidak mudah ahli lembaga itu bertindak bertentangan dengan prinsip yang ditegaskan dan mereka tahu bahawa mulai tahun depan ketua audit negara akan masuk dan ini akan memberi satu peringatan bahawa tidak harus berlaku apa apa permasalahan kecurangan dalam agensi yg berkenaan”
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.