Tumpuan :
Nasional

Kekejaman Israel: Pempengaruh digesa cipta kandungan telus

FOTO: Reuters

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Kekejaman dan perang yang tercetus di Palestin mencetuskan amarah ramai bukan sahaja di negara muslim malah seluruh dunia.

Taktik rejim zionis melakukan pelbagai propaganda agar ramai yang keliru terhadap konflik yang tercetus amat menjijikkan.

Bagi mereka, penyebaran dakyah bahawa Israel mangsa peperangan mampu mempengaruhi pelbagai pihak termasuk menggunakan pempengaruh media sosial sebagai alat menagih simpati.

Malah nyawa tidak berdosa cuba dimanipulasi menerusi media sosial, sedangkan ia nyata tidak benar.

Dr. Mumtaz Aini Alivi, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media & Komunikasi, Universiti Malaya UM

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media & Komunikasi, Universiti Malaya UM, Dr. Mumtaz Aini Alivi berkata, pempengaruh di negara ini perlu memainkan peranan membantu menyebar fakta kepada dunia.

“Saya lihat dalam perkara ini mereka seolah-olah terdesak untuk meraih sokongan dari masyarakat dunia sebab mereka tahu apabila ‘influencer’ ini memaparkan sesuatu bahan di media sosial sudah tentu ia akan memberi impak yang sangat besar, sebab dalam media kita menyatakan sebagai agenda settings selain media tradisional, media baharu juga memainkan peranan penting dalam penentuan agenda” katanya kepada Buletin TV3.

Tiada sifat kemanusiaan terhadap ribuan rakyat Gaza yang terkorban, menggambarkan sifat sebenar rejim Israel.

Lebih buruk, media barat dimanipulasi di media sosial berbanding situasi sebenar yang berlaku.

Namun propaganda terdesak itu sudah tidak dipedulikan ramai.

Ini kerana ramai pihak kini sudah bijak menilai bagaimana mengorek berita berfakta.

Datin Seri Nur Heliza Helmi

Bagi aktivis kemanusiaan Datin Seri Nur Heliza Helmi, pempengaruh berperanan menyalurkan kandungan telus mengenai situasi perang yang berlaku.

“Kita gunakan media sosial kita untuk memberikan sokongan dan dalam masa yang sama sesiapa anak muda yang hebat dalam buat video yang hebat buat editing video bongkarkan sejarah yang sebenar cerita hakikat sebenar tentang Palestin dan siapa yang sebenarnya penipu dunia” katanya kepada Buletin TV3.

Tambahnya, usaha berkenaan boleh memberi kesedaran tentang kepentingan mengumpul dana bantuan kemanusiaan rakyat di Palestin.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini