comscore
Tumpuan :
Nasional

Kekejaman zionis: Na’im ucap takziah kepada Ismail Haniyeh

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh atas kehilangan ahli keluarganya dalam serangan terbaharu rejim zionis Israel di Gaza.

Menerusi satu kenyataan, Na’im berkata, tindakan rejim zionis Israel itu sangat tidak berperikemanusiaan walaupun ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum akan laporan media berkaitan serangan terbaharu zionis Israel ke atas Palestin sehingga mengorbankan beberapa orang ahli keluarga pemimpin umat Islam Palestin Ismail Haniyeh.

“Seperti laporan media, beberapa orang anak dan cucu beliau telah terkorban dalam serangan tersebut. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa amat dukacita dan mengutuk perbuatan Zionis Israel yang sangat tidak berperikemanusiaan walaupun dalam suasana umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri,” jelasnya.

Tindakan rejim zionis itu tegasnya, membuktikan rejim zionis itu tidak mempedulikan suara dunia meskipun dikutuk masyarakat dunia atas jenayah kemanusiaan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Gaza.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan ucapan takziah kepada Ismail Haniyeh. Semoga beliau terus tabah dengan ujian besar ini. Tentunya ia sama sekali tidak melemahkan semangat beliau untuk terus berjuang demi negara Palestin.

“Marilah kita terus berdoa semoga rakyat Palestin terus diberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi untuk berhadapan dengan zionis Israel. Sesungguhnya doa kita semua amat bermakna tanda kesatuan hati kita semua,” jelasnya lagi.

Dalam serangan udara terbaharu di Kem Al-Shati di Gaza, tiga anak pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh dan empat cucunya terbunuh disahkan terbunuh ketika dalam perjalanan menyambut Syawal bersama keluarga.

Ismail dipetik laporan media antarabangsa yanbg mengesahkan pembunuhan itu, malah tegasnya serangan disifatkan sebagai pengecut dan khianat itu tidak akan mengubah proses gencatan senjata antara Hamas-Israel ketika ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini