comscore
Tumpuan :
Nasional

Kekerapan LRT antara Stesen Sentul Timur dan Bandaraya dikurangkan

Perkhidmatan LRT di antara Stesen Sentul Timur dan Stesen Bandaraya kini akan beroperasi dengan kekerapan setiap 12 minit. – FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di antara stesen Sentul Timur dan Bandaraya kini beroperasi dengan kekerapan setiap 12 minit ekoran beberapa tren yang terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

Rapid Rail, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan perkara itu menyebabkan hanya dua daripada lima tren yang dapat beroperasi ketika ini.

“Semenjak 27 Jan lalu, sebanyak lima buah tren digunakan di antara stesen-stesen tersebut. Disebabkan kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen Bandaraya, tren-tren tersebut tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

“Tiga daripada lima buah tren tersebut terpaksa dikeluarkan kerana tidak lagi memenuhi kriteria operasi,” menurut kenyataan itu.

Justeru, sebanyak 10 bas perkhidmatan bas perantara (LRT11) di antara stesen Sentul Timur dan Bandaraya diaktifkan bermula waktu puncak petang ini bagi menampung dan mengendalikan penumpang terjejas.

Kenyataan itu memaklumkan perkhidmatan bas perantara LRT11 ini akan berhenti di stesen-stesen Sentul Timur, Sentul, Titiwangsa, PWTC, Sultan Ismail dan Bandaraya yang mana perjalanan sehala menaiki bas perantara dari Sentul Timur ke Bandaraya dijangka mengambil masa selama 30 minit.

Menurut kenyataan itu, anggota operasi rel, anggota Polis Bantuan dan petugas Prasarana (Troopers) akan ditempatkan di stesen-stesen yang terlibat bagi mengawal pergerakan penumpang di stesen dan platform.- BERNAMA

Loading...
Terkini