comscore
Tumpuan :
Nasional

Kekurangan bekalan telur ayam masih berlanjutan

FOTO: Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan bekalan telur ayam masih berlaku meskipun isu minyak masak tempoh hari sudah selesai.

Itu luahan salah seorang peniaga kedai runcit di sekitar ibu negara apabila bekalan telur ayam yang kebiasaannya boleh didapati sebanyak 30 papan setiap hari kini berkurangan menjadi 10 hingga 15 papan sahaja.

Pengusaha pasar raya mini, Zarina Abdullah, 45, berkata, dia terpaksa mendapatkan stok telur dengan gred lebih mahal memandangkan hanya itu sahaja yang tersedia buat masa ini.

“Kalau dulu saya selalu beli telur gred A daripada pemborong, tapi disebabkan kekurangan stok ketika ini mereka jual dengan gred AA saja.

“Untuk gred AA ini tak ada kawalan harga tapi gred lain seperti A, B, C, dan D memang tak cukup di pasaran.

“Harga satu papan dijual dengan harga RM16.50, kalau gred A sebelum ini ada subsidi dan kita jual RM13.50 tapi ia tak ada stok. Jadi, agak banyak perbezaan harga itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Malah, Zarina mengakui dia terpaksa mengehadkan penjualan telur kepada setiap pelanggan sejak beberapa bulan lalu.

“Penjualannya juga saya terpaksa sekat. Kalau ada hari yang saya dapat 10 papan saja, maka terpaksa jual secara biji untuk bagi semua orang dapat dan masalah ini sudah berlaku sejak tiga ke empat bulan lalu,” katanya.

Selain itu, tinjauan di premis pemborong telur dekat Chow Kit, di sini turut mendapati bekalan telur ayam berkurangan daripada kebiasaannya, malah pelanggan terpaksa membuat tempahan awal untuk mendapatkan bahan mentah itu.

“Kami terpaksa hadkan penjualan kepada setiap pelanggan disebabkan stok yang kami dapat juga makin berkurang.

“Sekarang ini juga memang pelanggan akan tempah terlebih dahulu dan masalah ini boleh kata sudah berlanjutan lebih dua bulan,” kata salah seorang pekerja di premis terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Azreen.

Salah seorang pelanggan, Salmah Ismail, 52, pula msmberitahu penjualan telur buat masa ini sememangnya tidak mencukupi.

“Sekarang kalau nak beli telur memang susah. Kadang-kadang tak dapat beli sebab orang sudah tempah awal dan stok pun sikit. Sekarang ini belum sampai tengah hari telur sudah habis dijual,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya mendapati berlaku kekurangan telur dalam pasaran dan sudah memaklumkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Dalam masa sama, beliau berharap agar MAFI dapat menyelesaikan segera permasalahan yang sudah berlarutan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Loading...
Terkini