Tumpuan :
Nasional

Kekurangan minat pelajar dalam STEM, jejas sasaran Malaysia jadi negara maju 2025

Oleh: Farah Nabilah Wazer

KUALA LUMPUR: Kurangnya minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) berpotensi menjejaskan sasaran Malaysia menjadi negara maju menjelang 2025. Dengan tumpuan negara yang semakin beralih dari sektor tradisional ke industri berteknologi tinggi, Malaysia kini menghadapi cabaran besar dalam menyediakan pelapis profesional yang mencukupi dalam bidang itu.

Menurut data Kementerian Pendidikan, hanya 15.2 peratus pelajar memilih aliran sains bagi tahun akademik 2023/2024, manakala keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menunjukkan lebih 100,000 pelajar gagal dalam subjek sains dan matematik.

Menurut seorang pelajar, Muhammad Zulfadli Redzwan, pengaruh media sosial dikatakan antara punca utama minat pelajar semakin berkurang terhadap aliran ini, di mana kerjaya dalam bidang STEM kelihatan kurang menarik berbanding bidang popular di platform digital.

“Pempengaruh pada hari ini tidak memerlukan gelaran doktor, PhD, atau diploma untuk berjaya.Cukup dengan ramai pengikut dan penampilan menarik, kata-kata mereka dianggap fakta dan contoh ikutan oleh anak-anak muda,” katanya kepada Buletin TV3.

Dalam pada itu, kesukaran subjek Fizik, Kimia, Biologi, dan Matematik Tambahan juga dikatakan turut menyumbang kepada penurunan minat terhadap STEM.

Hal ini ditambah pula dengan kemudahan di sekolah, khususnya di kawasan luar bandar, yang dikatakan tidak memadai untuk memberikan pendedahan yang secukupnya kepada pelajar.

Seorang pelajar, Muhammad Luqhman Hakim Che Ujang berkata, kekurangan fasiliti yang baik membataskan minat untuk mempelajari aliran itu.

“Fasiliti atau kemudahan dalam bidang STEM di sekolah kami kurang mencukupi. Peralatan di makmal sangat terhad, sehingga membataskan pengalaman kerja lapangan kami,” ujarnya.

Selain itu, menurut Syadia Syadeera Sahril, kurangnya pendedahan awal terhadap bidang STEM turut membantutkan perkembangan minat pelajar.

“Saya pun tak didedahkan dalam bidang STEM sebab pun bukanlah dari aliran sains saya tak diberi peluang atau tak didedahkan apa itu STEM,” kongsinya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluahkan kebimbangan terhadap isu itu, dengan menyatakan keperluan negara untuk memiliki sekurang-kurangnya 500,000 saintis dan jurutera demi mencapai matlamat negara berteknologi tinggi.

Untuk mengenal pasti minat pelajar dalam bidang STEM lebih awal, Presdin Persatuan STEM Kebangsaan
Profesor Emeritus Datuk Noraini Idris mencadangkan agar ujian kecenderungan STEM dilaksanakan pada peringkat Tingkatan 3.

” Sebab tingkatan 3 ni kita nak tahu juga sama ada minat dia kemana. kalau minat dia tadi ke jurusan stem, jadi dah tunjukkan permarkahan dia, pemahaman dia. jadi kita boleh galakkan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, turut memaklumkan bahawa pelan pembangunan pendidikan selepas 2025 akan memberi fokus khusus kepada STEM. Beliau menyatakan bahawa walaupun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menunjukkan perkembangan positif, cabaran semasa memerlukan reformasi menyeluruh untuk memastikan sasaran 60 peratus pelajar dalam aliran sains dapat dicapai.

“Kurikulum 2027. itu akan beri kesan yang besar sebab. akan beri impak sepenuhnya kepada pendidikan stem secara keseluruhannya, yang kedua dalam aspek pelan pembangunan pendidikan 2025 yang akan berkahir tahun hadapan yang akan memberi penekanan kepada STEM,” jelas Fadhlina.

Untuk itu, pemerkasaan STEM memerlukan kerjasama rentas agensi termasuk pemegang taruh bagi melahirkan generasi yang celik STEM demi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi dan kompetitif di peringkat antarabangsa. Selain daripada meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar, langkah strategik seperti penambahbaikan fasiliti pendidikan, pendedahan awal STEM di peringkat sekolah rendah, serta sokongan kewangan bagi pelajar yang berminat dalam bidang ini perlu diberi perhatian serius.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini