comscore
Tumpuan :
Nasional

Kekurangan pakar perubatan: KKM mahu Akta 50 dipinda segera

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengangkat cadangan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) berkenaan ‘Program Parallel Pathway’ memandangkan kekurangan pakar perubatan yang berkhidmat di hospital kerajaan yang kian mendesak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan pindaan adalah selewat-lewatnya pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Kelima Belas pada Jun ini bagi penguatkuasaan secepat mungkin.

“Dengan itu, tertakluk kepada keputusan lanjut Jemaah Menteri bagi cadangan pindaan Akta 50 berkenaan ‘Program Parallel Pathway’, KKM memberi sepenuh komitmen bahawa pelatih daripada ‘Program Parallel Pathway’ yang telah menyelesaikan program tersebut dengan jayanya (successfully completed) akan dijadikan berhak didaftarkan sebagai pakar di bawah Akta 50,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, KKM beriltizam untuk melahirkan lebih ramai pakar perubatan demi memenuhi keperluan perkhidmatan perubatan negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar memberikan sepenuh kerjasama demi kepentingan seluruh pemegang taruh terutama pelatih ‘Program Parallel Pathway’ dan rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan mereka.

“KKM menjamin kecekapan dan keberkesanan penyampaian sektor kesihatan awam kepada masyarakat dapat terus ditingkatkan di bawah gagasan Malaysia MADANI,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, dalam perbincangan beliau dengan Duta Besar Ireland ke Malaysia, Orla Tunney dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, David Wallace bersepakat agar kerjasama yang sedia terjalin antara KKM dan institusi yang terlibat akan diteruskan serta diperkukuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini