comscore
Tumpuan :
Nasional

Kelantan Dijangka Tidak Alami Banjir Besar Pada Musim Tengkujuh Kali Ini

Kelantan dijangka tidak mengalami banjir besar seperti yang pernah dialami pada tahun 2014 dalam tempoh musim tengkujuh kali ini, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata ia berikutan jumlah taburan terkini hujan dicatatkan di negeri itu ialah sebanyak 1,825mm atau 68 peratus daripada jumlah purata hujan tahunan sebanyak 2,700mm.

“Dalam laporan terakhir yang dimaklumkan kepada saya Jumaat lepas, berdasarkan taburan hujan sedia ada Insya-Allah tidak akan membawa banjir besar. 

“Bagaimanapun kita telah sedia membuat persiapan, berusaha dan berdoa kepada Allah SWT kerana antara bumi dan langit itu milik Allah. Kita berusaha untuk mengelak kerosakan besar, seperti yang saya maklumkan tadi taburan hujan tahun ini kemungkinan tidak berlaku banjir besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Projek Pelaksanaan Segera bagi Menangani Bencana Runtuhan Tebing Sungai di Kampung Pohon Celagi, di sini hari ini.

Mengulas mengenai kerja-kerja penstabilan tebing sungai di Kampung Pohon Celagi, Tuan Ibrahim berkata projek yang bermula pada Ogos lalu kini sudah mencapai kemajuan sebanyak 42.65 peratus berbanding 38.5 peratus mengikut jadual yang ditetapkan. — BERNAMA

Loading...
Terkini