comscore
Tumpuan :
Nasional

Kelindan maut, lori dipandu remaja rempuh treler rosak di tepi jalan

Sebuah lori terbakar selepas merempuh belakang sebuah treler di CSR arah barat jam pagi tadi. – Foto Ihsan bomba

BENTONG: Seorang kelindan lori maut, manakala pemandu parah apabila kenderaan dinaiki mereka terbakar selepas merempuh sebuah treler di Lingkaran Tengah Utama (CSR) arah barat, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, Mohd Ghazi Ab Razab, 53, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori berusia 18 tahun patah paha dan dibawa ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan.

Pemandu treler dilaporkan selamat apabila hanya bahagian belakang treler didapati terbakar.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata siasatan awal mendapati lori dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Pelabuhan Klang itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang treler membawa muatan habuk kayu yang mengalami kerosakan di kiri jalan.

“Akibat rempuhan kuat itu, lori berkenaan terbakar di keseluruhan bahagian badan dan hadapan.

“Siasatan juga mendapati, pemandu lori berkenaan tidak memiliki lesen memandu.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini