comscore
Tumpuan :
Nasional

Keluarga Allahyarham Mohd Firdaus terus dibantu

Husain menyerahkan cek insuran nyawa kepada anak Allahyarham Firdaus Ibrahim, Ayra Tasnim sambil diperhatikan Noor Aida di Balai Berita. Turut hadir, Datuk Seri Dr Syed Hussian (tiga dari kiri), Yusri (kanan) Sufian Thauri (kiri) dan Melor (dua dari kanan).

Kuala Lumpur: “Saya berterima kasih kepada semua pihak terutama syarikat suami berkerja yang banyak membantu keluarga kami sejak suami meninggal dunia sehingga kini,” kata Noor Aida Noh.

Noor Aida, 37, adalah balu kepada Penolong Pengarang Berita Harian Metro (HM) Mohd Firdaus Ibrahim yang meninggal dunia akibat jangkitan malaria dan kegagalan organ pada 3 Ogos lalu.

Dia berkata, bantuan yang diterima sangat membantu meringankan beban terutama untuk urusan persekolahan empat anak.

“Alhamdulillah ini rezeki anak kami dan saya akan menggunakan bantuan ini terutama untuk urusan persekolahan empat anak.

“Ini juga untuk kelangsungan hidup kami yang akan memulakan kehidupan baru di kampung di Jitra, Kedah pada Februari depan sementara saya mendapat kerja,” katanya ditemui pada majlis penyerahan cek Skim Insurans Nyawa Berkumpulan yang disampaikan Pengarang Kumpulan HM, Husain Jahit.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd (Media Prima), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarang Eksekutif (Kandungan) HM, Muhamad Safar Ahmad; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM Yusri Abdul Malek; Pengarang Berita Kanan HM Sufian Thauri Muhammed dan Pengurus Sumber Manusia The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Melor Mohd Johar.

Sementara itu, Husain berkata, pihaknya sangat merasai kehilangan Mohd Firdaus yang disifatkan sebagai kakitangan dan rakan seperjuangan yang sangat berdedikasi dan komited dalam kerjanya.

“Kita berterima kasih kepada semua pihak yang menguruskan bantuan kepada Mohd Firdaus dan diharapkan ia dapat membantu isteri dan anak arwah.

“Kita sebagai keluarga di sini akan membantu semampu mungkin termasuk cuba mendapatkan kerja untuk isteri arwah,” katanya.

Sepanjang 14 tahun berkhidmat, Allahyarham Mohd Firdaus, 37, banyak membantu menaikkan nama HM dengan memenangi pelbagai anugerah.

Mohd Firdaus dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur dan tidak sedarkan diri selama enam hari.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan empat anak, Nur Jannah, 9, Ayra Tasnim, 7, Muhammad Rayyan, 5, dan Muhammad Uwais berusia 14 bulan.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini