Oleh: Safwan Sawi
KIULU: Keluarga bekas wartawan Bilik Berita dan Ehwal Semasa (NCA) TV3 Sabah, mendiang Elphege Godomon menerima kunjungan pengurusan kanan Media Prima Berhad (MPB).
Kunjungan sebagai penghormatan terakhir dan ucapan takziah kepada keluarga atas dedikasi mendiang yang berkhidmat bersama MPB.
Pengurusan kanan MPB yang hadir terdiri daripada Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar, Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin serta Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima, Farrah Naz Abd Karim.
Datuk Mohd Effendi berkata, mendiang adalah salah seorang keluarga Media Prima yang berdedikasi setelah berkhidmat dengan syarikat selama 24 tahun dan seorang yang baik hati, pemurah serta sangat disenangi rakan-rakan sekerja.
“Kita di Media Prima ucap takziah kepada keluarga mendiang kita mendoakan mendiang mendapat ketenangan, keluarga diberi kekuatan kita merasakan satu kehilangan besar kepada keluarga besar Media Prima atas komitmen dan juga dedikasi yang mendiang tunjukkan sepanjang berkhidmat di Media Prima,” katanya.
Datuk Mohd Effendi berkata demikian selepas membuat kunjungan di kediaman keluarga mendiang, di sini, hari ini.
Ibu mendiang, Nora Simon Kusin, 76, ketika ditemui turut menzahirkan penghargaan kepada Media Prima atas kunjungan berkenaan.
“Kunjungan ini sangat kami hargai harap selama ini kamu tidak melupai hubungan kekeluargaan semua yang mendiang sudah lalui bersama anda, terima kasih kepada Media Prima,” katanya ketika ditemui Buletin TV3 di sini, hari ini.
Mendiang Elphege meninggal dunia pada usia 53 tahun kira-kira jam 5.30 pagi Selasa lalu di kediaman keluarganya di Kampung Kionsom Lama, Kiulu.
Mendiang meninggal dunia dalam tidur dan disedari oleh ibunya pada awal pagi.
Mendiang selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian Kampung Malangang Baru, Khamis lalu.
Menurut keluarga, laporan awal daripada pihak hospital mendapati mendiang meninggal dunia akibat serangan jantung dan strok.
Elphege berkhidmat selama 24 tahun sejak 1994 bersama TV3 dengan jawatan terakhir sebagai koresponden Sabah pada 2018.
Mendiang pernah memenangi pelbagai anugerah kewartawanan.
Seluruh warga MPB mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.