comscore
Tumpuan :
Nasional

Keluarga rayu Aishah pulang segera

PUTRAJAYA: Seorang wanita berusia 20 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Dwiputra Residensi, Presint 15 di sini, sejak Isnin lalu.

Nurul Aishah Abdullah yang tidak bekerja dan menjaga adik-adiknya di rumah, dilaporkan keluar rumah dipercayai selepas berselisih faham dengan ahli keluarga.

Ibunya, Nurul Izzah Lenny Abdullah Mathius, 43, berkata, anaknya keluar dengan berjalan kaki pada pagi Isnin lalu, dengan tidak membawa kad pengenalan dan telefon bimbit sehingga sukar untuk dihubungi.

Beliau berkata, ahli keluarga juga bimbang dengan keselamatan wanita itu kerana dia tidak mempunyai kawan dan seorang yang pendiam.

Katanya, ketika meninggalkan rumah, Aishah juga tidak membawa pakaian dan duit yang menyukarkan dirinya untuk berada lama di luar.

“Ahli keluarga juga sudah membuat laporan polis dan meminta bantuan orang ramai bagi mencari Aishah,” katanya ketika dihubungi.

Nurul Izzah berkata, Aishah adalah seorang individu normal dan keluarga tidak pasti dia pergi ke mana dan berada dengan siapa, kerana tiada saksi yang melihat kejadian ketika wanita itu keluar dari rumah.

Katanya, kejadian ini pertama kali berlaku dan berharap Aishah dapat melupakan apa yang terjadi sebelum ini demi kepentingan keluarga.

“Kami bimbang dengan keselamatannya dan setakat ini, tiada sebarang khabar berita serta merayu supaya Aishah pulang ke rumah dengan segera,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi ahli keluarga di talian 011-28069150 (Shahira), 013-3921016 (Nurul Izzah) atau berhubung dengan balai polis terdekat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini