comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemajuan pembinaan ECRL di empat negeri cecah purata 65 peratus

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.- Foto: NSTP

HULU SELANGOR: Kemajuan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor telah mencapai purata 65 peratus setakat April lepas, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata bagi Selangor khususnya, projek berkenaan telah mencatat kemajuan melebihi 26 peratus hingga bulan lepas selaras dengan jadual penyiapan jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pada Disember 2027, manakala pengoperasian dijangka bermula Januari 2028.

“Pada hari ini lebih 100 kilometer (km) (rel) sudah pun diletakkan. Saya difahamkan setiap hari lebih 1km trek dapat disiapkan. Projek ECRL memang ada efisiensi kerja yang tinggi. Setiap hari ada prestasi dan kemajuannya, ikut hari bukan bulan, jadi itu sebab projek ini berjalan amat lancar.

“Untuk makluman rangkaian ECRL di Selangor yang hampir 120km, telah menetapkan lima stesen iaitu Terminal Bersepadu Gombak, Kapar dan Jalan Kastam bagi tujuan penumpang sahaja, manakala stesen Bandar Serendah dan Puncak Alam adalah stesen gabungan penumpang dan kargo,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya ECRL di sini hari ini.

Menurutnya kawasan Serendah di sini akan menjadi stesen utama bagi menghubungkan laluan Pelabuhan Klang dan pantai timur sekali gus mampu menjadikan kawasan berkenaan sebagai hab logistik yang penting.

“Jajaran ECRL yang melintasi Selangor dapat merancakkan sektor pelancongan, perhotelan dan perniagaan di Batang Kali, yang turut berpotensi dijadikan pusat pengangkutan kereta api bagi memacu industri berkenaan.

“Hasrat itu boleh dicapai dengan pembinaan ‘Pintasan Serendah’ ke Pelabuhan Klang yang merangkumi trek tolok standard untuk ECRL dan trek tolok meter untuk KTMB, sekaligus memperkukuhkan daya saing pengangkutan rel kargo serta sektor logistik dan pengendalian kargo setempat,” jelasnya

Mengulas mengenai pengambilan tanah bagi tujuan pembinaan rel infrastruktur berkenaan, beliau berkata di jajaran pantai timur ia telah selesai sepenuhnya manakala di Selangor pemaju telah diberi masa selama setahun lagi untuk menyelesaikan perkara itu.

Berkenaan Karnival Kerjaya itu, Loke berkata ia merupakan sebahagian daripada Program Mesra ECRL yang turut diisi dengan aktiviti temuduga terbuka bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) yang menawarkan peluang latihan dan pekerjaan kepada warga tempatan untuk menyertai perkhidmatan projek infrastruktur mega itu.

Inisiatif PLKI-ECRL dijangka melatih 1,800 pelatih untuk terbabit dalam fasa pembinaan projek itu, serta 3,200 pelatih bagi fasa pengoperasian dan penyelenggaraan kelak.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini