comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemalangan babitkan kanak-kanak pulang dari tadika, polis reman warga Singapura 

PORT DICKSON: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut, selepas motosikal yang ditunggang bapanya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di kilometer 16 Jalan Sua Betong- Air Kuning di sini semalam.

Ketika kejadian mangsa baru sahaja dijemput pulang dari tadika oleh bapanya.

Mangsa, Muhammad Shaheizy Iman Muhammad Shazrein disahkan meninggal dunia di Zon Merah Hospital Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Suprintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang. ketika penunggang motosikal yang merupakan juruteknik Ladang Sua Betong dalam perjalanan pulang dari mengambil anaknya dari Pasti Al Hasan, Taman Desa Port Dickson sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 33 tahun, warga Singapura.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua kenderaan itu bergerak dari arah Air Kuning menghala ke Sua Betong.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta berkenaan sedang memotong kenderaan di hadapannya lalu melanggar bahagian tepi kanan motosikal yang sedang membelok ke simpang kanan menghala ke Ladang Sua Betong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, akibatnya penunggang mengalami kecederaan patah bahu dan kaki kanan, pemboncengnya (kanak-kanak) itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

“Pemandu kereta berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Saringan awal ujian air kencing terhadap pemandu itu adalah negatif dan ujian pernafasan menunjukkan tiada kandungan alkohol dalam darah.

“Lelaki itu telah direman selama tiga hari bermula hari ini dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Justeru katanya, polis meminta saksi kejadian tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.” Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung kejadian,” katanya.

Ia berikutan tular dakwaan di media sosial bahawa kemalangan berlaku disebabkan kereta yang terlibat berlumba sebelum melanggar sebuah motosikal di hadapannya.

Pemandu kereta seorang lelaki warga Singapura yang dipercayai terbabit kemalangan hingga menyebabkan seorang kanak-kanak tadika maut dalam kejadian itu.

Loading...
Terkini