Tumpuan :
Nasional

Kemalangan bas di Norway: Pasukan konsular dihantar beri bantuan kepada rakyat Malaysia

Wisma Putra masih dalam proses mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadin itu.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Satu pasukan konsular dihantar untuk memberikan bantuan dan sokongan segera kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kemalangan bas di utara Norway.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Kedutaan Malaysia di Stockholm sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Norway untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian berkenaan.

“Laporan awal menunjukkan bahawa penumpang termasuk pelancong asing dari China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis dan Ukraine.

“Maklumat lanjut mengenai kejadian ini dijangka dikeluarkan oleh pihak berkuasa pada 27 Disember 2024 waktu tempatan,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang waktu tempatan semalam (26 Disember), tiga maut manakala empat individu lagi mengalami kecederaan serius selepas bas yang membawa 58 penumpang terbabas dari lebuh raya lalu terjunam ke dalam Tasik Åsvatnet, dengan sebahagian bas tenggelam.

Kejadian berlaku berhampiran Raftsundet di kepulauan Lofoten, destinasi pelancongan terkenal di utara negara tersebut.

Individu yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Stokmarknes.

Mengulas lanjut, Wisma Putra amat prihatin dengan insiden terbabit.

Jelasnya, kemalangan berlaku dalam keadaan cuaca sangat buruk termasuk salji lebat dan angin kencang yang menyebabkan bas tersebut hilang kawalan dan terbalik.

“Walaupun keadaan cuaca yang buruk menyukarkan usaha penyelamatan awal, pihak berkuasa Norway berjaya membawa keluar semua penumpang,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini