KUALA LUMPUR: Kementerian Luar hari ini memaklumkan dua rakyat Malaysia yang terlibat dalam kemalangan bas berhampiran Tasik Asvanet, Norway dalam keadaan sihat.
Menerusi satu kenyataan media Wisma Putra memaklumkan kedua-dua rakyat Malaysia itu telah dikategorikan sebagai kes tanpa kecederaan dan telah meneruskan perjalanan mereka di negara terbabit.
“Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, dengan sukacitanya mengesahkan bahawa Kedutaan telah berjaya menghubungi dua warganegara Malaysia yang terlibat dalam kemalangan bas berhampiran Tasik Åsvatnet, Norway, pada 26 Disember 2024.
“Kedua-dua individu tersebut mengalami kecederaan ringan, telah dikategorikan sebagai kes ‘tanpa kecederaan’ oleh pihak berkuasa Norway, dan berada dalam keadaan sihat.
“Mereka juga telah meneruskan perjalanan di Norway tanpa sebarang komplikasi lanjut,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu Wisma Putra turut memaklumkan laporan awal yang menyatakan empat rakyat Malaysia terlibat dalam insiden itu hanya disebabkan salah faham.
“Kementerian ini juga ingin menjelaskan bahawa laporan awal yang menyatakan terdapat empat orang warganegara Malaysia yang terlibat dalam kemalangan tersebut adalah disebabkan salah faham, kerana dua lagi warganegara Malaysia kebetulan berada di hotel yang sama.
“Kedua-dua warganegara ini telah disahkan tidak terlibat dalam insiden berkenaan,” jelas Wisma Putra lagi.
Mewakili Kerajaan Malaysia, Wisma Putra turut menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa Norway atas tindakan pantas dan bantuan yang diberikan kepada mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.