Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
BENTONG: Kerja-kerja pembersihan jalan susulan kemalangan maut yang membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 42, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Bukit Tinggi, awal pagi tadi telah selesai dijalankan.
Namun, pembersihan di bahu jalan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur masih giat dilaksanakan.
Pihak Anih Berhad memaklumkan kesemua lorong di kedua-dua hala telah dibuka sepenuhnya.
“Susulan kemalangan dilokasi, kesemua lorong telah dibuka sepenuhnya dikedua-dua hala.
“Trafik perlahan atau sesak sesak sepanjang 3 kilometer (KM) dari KM39.9 hingga KM42.9 arah timur pada jam 8:45 pagi,” katanya.
Tambahnya, setakat jam 1 tengah hari tadi trafik arah timur, dari Genting Sempah menuju ke Bukit Tinggi masih bergerak perlahan berikutan pertambahan kenderaan.
Hasil tinjauan Buletin TV3 mendapati, dua buah lori yang terbabit dalam kemalangan itu masih berada di bahu jalan buat sementara waktu.
Muatan treler yang bertaburan pula telah dialihkan ke bahu jalan.
Awal pagi tadi, dilaporkan tiga lelaki maut dan lima cedera dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 42 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd Ridzuan Zulkafly, 40, Muhamad Zaimi Shariff, 39, dan Muhammad Azizul Fitrie Md Zaire, 23.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima laporan membabitkan kebakaran sebuah treler dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan pada jam 4:13 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa