comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemalangan maut : Perodua MYVI terbabas ketika turun bukit

Oleh Fazli Ahmad

MUADZAM SHAH: Polis tidak menolak kecuaian ketika memandu punca Perodua Myvi terbabas dan terjunam ke dalam gaung sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun  di Kilometer 148, Jalan Kuantan – Seremban, dekat Bandar Melati di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati  kereta terbabit dipercayai hilang kawalan ketika menurun bukit dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum terhumban ke dalam gaung jam 3 pagi tadi.

Katanya, lokasi kemalangan adalah laluan dua lorong menuruni bukit serta tiada garisan putih sebagai pembahagi jalan.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika Perodua Myvi terbabit dari arah Seremban ke arah Kuantan,”

“Akibat kemalangan itu, penumpang belakang sebelah kiri meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu serta dua lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.” katanya kepada Buletin TV3.

Mangsa  dikenali Muhammad Raziq Ramli, 12 meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.

Manakala adiknya Muhammad Nazeef, 9, terselamat.

Dua beradik  itu adalah anak saudara kepada pemandu kereta berkenaan.

Polis mengklasifikan kemalangan itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah .

Loading...
Terkini