Tumpuan :
Nasional

Kemaman dilanda banjir, satu PPS dibuka

FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Kemaman menjadi daerah pertama dilanda banjir gelombang pertama di Terengganu, susulan Monsun Timur Laut (MTL) setelah menerima taburan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balai Raya Meraga Beris pada 1 tengah hari tadi yang menempatkan 12 mangsa daripada dua keluarga.

 

“Mangsa terdiri lima lelaki dan tiga wanita dewasa serta empat kanak-kanak.

“Kesemua mangsa terlibat dari perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong. Operasi pemindahan masih berjalan termasuk di Kampung Baru Kemasik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan ketika dihubungi bernama berkata, pihaknya sedang membuat pemantauan di daerah itu bagi memastikan keselamatan dan keadaan terkawal.

Beliau berkata beberapa laluan dari Chukai ke Paka, Dungun dinaiki air tetapi masih boleh dilalui namun menasihatkan pengguna jalan raya berwaspada.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap buruk di Terengganu, Pahang dan Johor berkuat kuasa hingga 23 November ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini