Tumpuan :
Nasional

KEMAS jalankan kajian, rancang naik taraf TABIKA seluruh negara

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sedang menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti keperluan menaik taraf dan membaik pulih TABIKA KEMAS di seluruh negara.

Kajian itu dilaksanakan selaras arahan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang meminta agar satu Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berkaitan perkara tersebut disediakan.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man, berkata kajian itu juga bertujuan menyediakan laporan komprehensif yang turut merangkumi aspek dasar.

“Kita mahu penyelesaian secara menyeluruh dapat dicadangkan bagi memastikan pendidikan awal kanak-kanak khususnya di luar bandar lebih teratur dan terjamin.

“Ini termasuk isu pemilikan tanah, status bangunan yang digunakan secara menumpang, seperti balai raya, serta kaedah perolehan bangunan komersial yang sesuai dijadikan premis TABIKA,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa penyelesaian menyeluruh perlu dicadangkan bagi memastikan pendidikan awal kanak-kanak, khususnya di luar bandar, lebih teratur dan terjamin.

Menurutnya, perhatian khusus perlu diberikan kepada penyediaan tenaga elektrik dan sumber air di kawasan pedalaman.

“Kajian lanjut juga perlu dilakukan terhadap cadangan penggunaan panel solar, tangki tadahan hujan, atau air bawah tanah bagi memastikan keperluan asas ini dapat dipenuhi dengan berkesan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, KEMAS komited menyediakan kemudahan fizikal yang kondusif, tetapi turut memastikan anak-anak di luar bandar mendapat peluang pendidikan awal yang berkualiti setanding dengan anak-anak di bandar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini