Tumpuan :
Nasional

(Kemas kini nahas 3 lori) Lagi kemalangan babitkan tayar lori tercabut

Tinjauan di lokasi mendapati sebuah lori treler, sebuah lori “bonded” tertutup dan sebuah lori 8 tan terbabit dalam kemalangan.

Oleh: Selwam Arjunan

NIBONG TEBAL: Seorang pemandu lori dipercayai cedera dalam kemalangan jalanraya membabitkan tiga buah lori di Kilometer 157 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Sungai Bakap, di sini awal pagi tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam enam pagi tadi di laluan Nibong Tebal menuju ke Batu Kawan, berhampiran Hentian Sebelah Sungai Bakap.

Tinjauan di lokasi mendapati sebuah lori treler, sebuah lori “bonded” tertutup dan sebuah lori 8 tan terbabit dalam kemalangan.

Sebuah tayar yang tercabut daripada salah satu kenderaan, dipercayai daripada lori treler berada di pembahagi tengah jalan.

Menurut pemandu lori 8 tan, Mohd Amir Rahman, kejadian berlaku kira-kira jam 5.50 pagi apabila dia dalam perjalanan dari Chuping, Perlis ke Yong Peng, Johor.

“Kejadian berlaku sekelip mata apabila saya sedang memotong sebuah treler, tiba-tiba treler tu himpit saya dengan cara tergesa-gesa.

“Saya nampak kejadian berlaku apabila treler itu seolah-olah mengelak sesuatu, selepas itu dia terus himpit saya. Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan lori saya dihimpit-himpit ke besi tengah jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Saksi di lokasi mendakwa seorang pemandu lori mengalami cedera di kepala dan dibawa ke hospital menaiki ambulans.

Bagaimanapun, masih belum ada pengesahan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) berhubung kejadian itu.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan luar biasa di kedua-dua arah sehingga 10 kilometer.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini