KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) taska disarankan untuk dikemaskini.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya bercadang untuk meletakkan syarat pentadbiran taska perlu menghubungi ibu bapa sekiranya kanak-kanak di bawah jagaan mereka tidak hadir.
Katanya SOP itu secara tidak langsung dapat mengelakkan kejadian tertinggal bayi di dalam kereta terus berulang.
“Saya mencadangkan untuk mengemaskini SOP taska ini supaya insiden ini tidak berlaku lagi.
“Dari segi tindakan undang-undang, kami akan serahkan kepada polis untuk ambil tindakan yang sewajarnya.
“Saya juga terbuka kepada apa-apa cadangan agar isu ini dapat dielakkan pada masa hadapan,” katanya.
Rabu lalu, dilaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta di Ara Damansara, di Petaling Jaya.
Hasil siasatan mendapati, ibu mangsa terlupa menurunkan mangsa di tadika kerana berhenti seketika untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian dan kemudian terus pulang ke rumah.
Sementara itu, Kaunselor Berdaftar, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata tindakan meletakkan kerusi keselamatan kanak-kanak di sebelah kerusi pemandu disifatkan berupaya mengelakkan kes seumpama ini berulang.
Katanya, tindakan itu amat digalakkan seperti mana dilakukan di luar negara dan ini mampu mengelakkan sindrom terlupa kerana bayi tidak terlihat secara visual.
“Dalam masa yang sama, perlu ada sikap was-was dan sentiasa memeriksa kenderaan sebelum meninggalkan kereta kerana amalan ini bukan setakat boleh menangani kes tertinggal bayi, tetapi juga keselamatan kenderaan juga.
“Namun, tidak dinafikan kecuaian adalah faktor paling asas dalam kejadian sebegini, tetapi ia tidak bermaksud individu itu tidak peka, sebaliknya fokus dan perhatian mereka terganggu pada waktu itu.
“Justeru pengurusan diri dan masa juga amat penting supaya setiap orang mampu mengendalikan tugas seharian dengan baik dan sempurna tanpa perlu terkejar-kejar sehingga berlakunya kes-kes sebegini,” katanya.