comscore
Tumpuan :
Nasional

Kematian anak KPD Lahad Datu: Senjata api disimpan dalam tempat berkunci – Polis

KUALA LUMPUR: Kes kematian anak perempuan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu, siasatan awal polis mendapati
senjata api yang digunakan dalam kejadian ini, disimpan dalam tempat berkunci.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan pihaknya ketika ini tertumpu kepada dua bahagian iaitu kecuaian penyimpanan dan kecuaian penggunaan senjata api terbabit.

“Siasatan juga menjurus kepada kecuaian penyimpanan senjata api berkenaan, namun buat masa ini tidak timbul isu kecuaian daripada aspek itu.

“Ini kerana siasatan mendapati senjata itu disimpan di dalam almari yang berkunci dalam bilik utama kediaman itu.

“Mangsa anak bongsu dan biasa dengan bilik itu, belum pasti bagaimana dia boleh membuka almari berkenaan, mungkin ada terjumpa kunci, ” katanya.

Dalam pada itu, katanya pistol jenis Walther P99 itu yang dirampas selepas kejadian itu adalah pistol pasukan yang dibekalkan kepada KPD Lahad Datu dan bukan pistol peribadi.

Kelmarin, anak perempuan KPD Lahad Datu maut dipercayai tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu.

Mangsa berusia 14 tahun itu ditemui oleh kakaknya yang berusia 16 tahun dalam keadaan berlumuran darah dalam bilik di rumah mereka, pada jam 12.42 tengah hari.

Difahamkan, ketika kejadian, bapa mangsa berada di Kinabatangan, Sabah, atas urusan perpindahan rumah kerana baru berpindah selepas dinaikkan pangkat sebagai KPD Lahad Datu.

Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Lahad Datu, semalam merumuskan kematian remaja berusia 14 tahun itu berpunca daripada satu das tembakan yang terkena di bahagian dada.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais, dilaporkan berkata siasatan mendapati hanya satu das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan tembakan berkenaan terkena pada bahagian dada kanan mangsa.

Katanya, terdapat luka tembak pada dada kanan yang mengenai organ paru-paru dan tembus di bahagian belakang badan.

“Hasil bedah siasat merumuskan kematian mangsa adalah disebabkan luka tembakan pada bahagian dada,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini