comscore
Tumpuan :
Nasional

Kematian Dr Tay Tien Yaa mesti disusuli dengan siasatan lanjut – Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengarahkan siasatan lanjut dibuat susulan kematian seorang pakar perubatan dari Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr Tay Tien Yaa, yang didakwa akibat dibuli di tempat kerja.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi sama sekali terhadap sebarang perbuatan buli dan pendekatan sama juga sudah diamalkannya sejak 2018 lalu iaitu ketika pertama kali beliau memegang jawatan menteri kesihatan.

Malah beliau berkata, pihaknya juga sedang meneliti beberapa kes aduan yang diterimanya sehingga kini berhubung insiden pembulian membabitkan doktor di negara ini.

“Kematian Dr Tay Tien Yaa mesti disusuli dengan siasatan lanjut…saya tiada toleransi terhadap insiden buli sejak 2018 lagi

“Saya akan tetap berpegang teguh pada dasar ini (beberapa kes lagi dalam tangan saya),” katanya melalui aplikasi X, hari ini.

Pada masa sama, Dr Dzulkefly berkata, semua kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) berhak mendapatkan suasana kerja yang selamat.

Semalam, tular satu muatnaik di Facebook yang memaklumkan seorang doktor yang ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, Sabah, pada 29 Ogos lalu, didakwa disebabkan tindakan bunuh diri, berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.

Perkara itu didedahkan adik mangsa, dikenali sebagai YS Tay yang mendakwa kakaknya, Dr Tay Tien Yaa, berkhidmat di Hospital Lahad Datu, Sabah, ditindas oleh ketua jabatan selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.

Pada 2018, Dr Dzulkefly menggantung tugas Ketua Jabatan Ortopedik di sebuah hospital kerajaan yang didakwa terbabit dengan kes gangguan seksual.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini