comscore
Tumpuan :
Nasional

Kematian tiga beranak: Ruang pintu, tingkap bilik ditutup rapat dengan pita pelekat

Tiga ditemukan mati di dalam bilik apartment di Kampung Baru Ampang. Foto Ihsan Pembaca

KUALA LUMPUR: Pemeriksaan pasukan patologi forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia HUKM, mendapati keseluruhan ruang pintu dan tingkap bilik di mana kesemua mayat tiga beranak ditemukan, ditutup rapat dengan pita pelekat.

Pasukan forensik juga menemukan satu bekas arang dan pencucuh api yang diletakkan di bawah sofa di dalam bilik itu dan tempoh kematian dipercayai melebihi 24 jam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan diteruskan bagi mengenal pasti motif dan mengesan sebarang unsur jenayah sekiranya ada berkaitan tiga individu yang ditemukan mati di kediaman mereka di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Ampang di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. -Foto fail NSTP.

Terdahulu, katanya, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan kesemua mayat pada jam 7.31 pagi tadi daripada seorang lelaki tempatan.

Beliau berkata, Polis Kontinjen Selangor mengesahkan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menerima panggilan MERS 999 daripada seorang lelaki memaklumkan terdapat kematian di lokasi itu.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat tiga mayat iaitu satu mayat wanita dewasa berusia 42 tahun, satu mayat remaja perempuan dan satu mayat remaja lelaki masing-masing berumur 14 dan 15 tahun.

Kesemua mayat ditemukan dalam keadaan berpakaian lengkap,” menurutnya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel berkaitan: Ibu, 2 anak ditemui mati dalam bilik sewa

Hussein berkata, turut dijumpai ialah satu sampul berisi surat wasiat dan sejumlah wang tunai.

Jiran mangsa yang ingin dikenali sebagai Rina, 37, berkata sebelum ini, keluarga itu kelihatan seperti tiada masalah dan tidak pernah mendengar atau melihat sebarang tanda wujud pergaduhan.
“Saya hanya menyedari kejadian itu apabila ingin keluar bekerja pagi tadi dan melihat ramai anggota polis serta unit forensik di lokasi kejadian namun tidak menyangka sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Terkejut jugalah bila dapat tahu daripada jiran mengenai kejadian ini. Saya tak sangka ia boleh berlaku sebab sebelum ini, keluarga mangsa nampak okey sahaja,” katanya kepada BERNAMA.

Loading...
Terkini